Sunday 12 October 2008

Halalkah gaji kita sebagai kakitangan kerajaan Malaysia?

: Pendapatan Kerajaan Bercampur


www.zaharuddin.net


Soalan

Betul kah pendapatan kerajaan dibahagi kepada dua akaun? mana buktinya?.Adakah Kastam Malaysia, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan sebagainya telah asingkan cukai halal dan haram. Jika demikian, bagaimana boleh dikatakan gaji kakitangan awam datang dari akaun yang halal ?

JAWAPAN UZAR :

Sebarang bukti saudara perlulah mengusahakannya sendiri. Saya juga tiada sebarang bukti, namun bagi saya bukti pembahagian akaun telah dibuat bukanlah satu perkara asas dalam hal ini, ( sebaliknya yang asas adalah mengapa sesebuah kerajaan itu ingin meluluskan sesuatu industri yang haram seperti judi dan lain-lain) . Adapun dalam konteks soalan ini, kita sedang memberikan fokus kepada pendapatan kerajaan yang TELAH PUN bercampur.


Perlu kita fahami bahawa wang atau ‘fiat money' atau duit kertas itu tidak menjadi haram kerana sifat fizikalnya. Ia bukannya seperti najis yang boleh merebak ke bahagian lain apabila bercampur. Apa yang haram adalah cara perolehannya dan bukan fizikalnya.

Justeru itu, oleh kerana sememangnya terdapat perolehan kerajaan dari sumber cukai yang halal dan haram (dari sudut SHariah dan bukan dari sudut undang-undang), tanpa pengasingan akaun, sudah tentu percampuran halal dan haram akan berlaku, namun ingin saya tegaskan bahawa cara perolehan yang haram dan dari sumber haram hanya akan dipertanggungjawabkan ke atas bahu individu berwajib seperti pegawai terbabit (pelaksana) dan pemimpin yang membuat dasar.

Adapun, kakitangan awam yang bekerja di bidang yang halal seperti guru, pegawai kementerian, pensyarah di IPTA, Jabatan Agama, Mufti, Qadhi, Jurutera, Akauntan dan ramai lagi, gaji mereka adalah halal. selagi mana KERJA YANG DILAKUKAN HALAL. Walaupun gaji mereka keluar dari kantung Negara yang bercampur dari hasil halal dan haram, duit dari sumber haram tadi tidak akan memberi kesan haram kepada gaji mereka.

Dosa haram adalah bersifat maknawi atau hukmi atau spiritual yang akan melekat di hati individu terbabit sahaja. Ia tidak berpindah kepada orang yang tidak berkaitan secara fizikal (iaitu apabila wang kertas itu berpindah ke tangan orang lain).

Selain itu, jika wujud orang yang ingin bersikap terlalu keras dan 'strict' tidak bertempat sehingga ingin mendakwa semua gaji kakitangan awam adalah haram kerana wujudnya percampuran, maka saya nasihatkannya untuk melihat dirinya sendiri terlebih dahulu. Dimanakah ia bekerja, jika ia bekerja di sebuah syarikat maka mungkin percampuran pendapatan syarikat juga akan berlaku kerana sebahagian besar modal syarikat juga datang dari sumber haram iaitu pinjaman bank riba dan pengurusan juga banyak yang mendapatkan kontrak secara rasuah dan lain-lain lagi. Justeru boleh dikatakan bahawa sebahagian pendapatan syarikat adalah haram.

Jika ia mengatakan "saya bekerja sendiri" maka ia tetap akan menghadapi situasi yang sama iaitu pembelinya menggunakan wang yang bercampur dari sumber haram dan halal.


Perlu diingat bahawa dalam sebuah negara Islam yang hakiki, adalah harus atau DIBENARKAN bagi pemerintah sesebuah negara Islam untuk membenarkan penduduk bukan Islam dalama negaranya menjual arak kepada sesama mereka DENGAN SYARAT ia diiktiraf oleh agama mereka. Dari sudut percukaian pula, adalah DIBENARKAN atau harus pihak kerajaan Islam tadi menerima cukai hasil perniagaan arak tadi memandangkan ia dikutip menurut peruntukan hukum Islam yang sohih. Harta tersebut boleh digunakan untuk maslahat awam termasuk membayar gaji kakitangan awam tanpa sebarang masalah.

KESIMPULAN


semua kakitangan awam jangan bimbang dengan gaji mereka selagi mana mereka melakukan kerja-kerja dan tugasan yang halal. Adapun setiap pelaksanaan perintah oleh orang atasan yag bercanggah dengan Islam akan menjadikan sebahagian gaji mereka haram dan syubhah. Manakala beban dosa dari tugasan haram tadi pula akan ditanggung oleh setiap orang atasan yang membuat keputusan termasuklah setiap individu yang menyokong.


Adapun, jika anda ingin membaca dalil-dalil kepada jawapan yang saya utarakan ini. Anda bolehlah membaca dengan faham artikel berikut.

Maksud saya ‘faham'kan kerana anda perlu mengaitkan dalil itu dengan kerajaan yang bercampur pendapatannya.


Sekian,


Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

Thursday 9 October 2008

Tazkirah Syawal

Kali ini saya menyorot kembali pengertian takbir dan tahmid melalui takbir raya; وَأَعَزَّ جُنْدَهُ وَهَزَمَ الأَحْزَابَ وَحْدَهُ ; Dialah (Allah SWT) yang memenangkan tentera Islam dan menghancurkan pasukan Ahzab dengan EsaNya...

Mengapa laungan takbir dan tahmid ini kita ulang setiap kali tiba hari raya baik idul fitri mahupun idul adha? Apa kepentingan memperingati ahzab di saat kita bergembira menyambut hari raya?
Bagi saya kemenangan umat Islam dalam peperangan Ahzab adalah hasil daripada kejayaan mereka menguasai hawa nafsu dan tunduk kepada Allah SWT. Mereka tidak lagi terpengaruh dengan godaan dunia seperti mana dalam peperangan Uhud.

Biarpun situasi berlakunya Ahzab; umat Islam berada dalan segala bentuk kesukaran namun hasil tarbiyah Ramadhan mereka berjaya menjadi insan yang berkualiti. Mampu menggali parit yang luas sehingga bumi Madinah terselamat daripada serangan musuh yang bersekutu, yang berpakat dalam menghancurkan Islam dan tanah air mereka.

Bulan Ramadhan telah banyak mendidik hati kita untuk banyak mengingati Allah SWT maka amalan mulia itu mesti kita teruskan sebagai budaya yang dapat kita hayati sepanjang masa. Jika Umat Islam terdahulu berjaya; adalah kerana mereka semua tunduk kepada Allah SWT; mereka menang kerana jiwa mereka sudah merdeka dan menang. Kita juga boleh berjaya sepertimana mereka jika kita tunduk kepada Allah SWT dan yakin kepada janji-janji Allah SWT. Kekuatan meterial saja tidak cukup untuk beroleh kemenangan tetapi kekuatan minda dan jiwa juga perlu bagi memastikan sebuah kemenangan.

Ya, Umat Islam dahulu juga pernah kalah kerana jiwa mereka sudah kalah dan dikuasai nafsu; mereka terbukti kalah di dalam peperangan Uhud. Namun tiada lagi kekalahan buat mereka selepas itu apabila nafsu dan dunia tidak lagi berada dalam jiwa mereka. Mereka terus menerus beroleh kejayaan; kejayaan demi kejayaan. Kejayaan inilah yang harus disedari oleh umat Islam hari ini. Kealpaan mereka dengan duniawi sehingga melupakan Allah SWT menyebabkan mereka dilupakan oleh Allah SWT.

Mereka ini disifatkan oleh Allah SWT di dalam al-quran yang mafhumnya: "Ketikamana orang-orang yang beriman itu melihat tentera Ahzab, mereka berkata: Inilah apa yang telah dijanjikan oleh Allah SWT dan RasulNya kepada kami, dan benarlah janji Allah SWT dan RasulNya, dan tidaklah menambah kepada mereka melainkan iman dan penyerahan diri kepada Allah SWT".

Sempena Bulan Syawal yang mulia ini marilah bersama menghayati sirah Rasulullah SAW dalam peperangan Ahzab.

Tanggal 7 Syawal 5 Hijrah menyaksikan peristiwa Perang Ahzab berlaku setelah kesedihan menimpa kaum Muslimin, akibat keguguran ramai para syuhada didalam Peperangan Uhud.

Kaum Quraisy ingin menumpaskan kesemua kaum Muslimin. Mereka menubuhkan satu pasukan perang yang besar. Ribuan pasukan yang terdiri dari puak Quraisy dan sekutunya yang terdiri daripada kaum Quraisy, Bani Asad, bani Kilab, bani Syaiban, bani Ghatfan dan hampir seluruh kabilah yang sepakat akan menyerang kaum muslimin di kala itu.

Mereka semua berjumlah tidak kurang daripada 10 ribu orang sedangkan di pihak Islam berjumlah 3000 orang sahaja. Mereka berkumpul dan mengepung dari Utara Madinah. Sementara itu, pakatan Kaum Yahudi Madinah daripada Bani Nadhir, Bani Qainuqa’ dan Bani Quraizah menyaksikan penyatuan golongan yang membenci agama Allah ini dalam memerangi Rasulullah SAW dan Islam yang diperjuangkan oleh mereka.

Setelah peristiwa pembunuhan Kaab bin Asyraf, seorang yahudi yang menghina Nabi SAW dan Islam pada tahun 4 Hijrah, kebencian golongan Yahudi ini membuak buak sehinggakan mereka sanggup menyatakan bahawa agama sesat golongan quraisy Mekah adalah lebih baik daripada Islam sedangkan mereka merupakan golongan yang mengetahui Al Kitab dan beriman dengan Nabi Allah Musa A.S.

Dengan pimpinan Kaab bin Asad yang dihasut oleh Huyayy bin Akhtab, kedua dua pemimpin yahudi laknat ini telah berpakat sesama mereka dan bersatu dengan musyrikin Makkah untuk menyerang Madinah. Salman al farisi telah mencadangkan kepada Nabi SAW supaya dibuat parit yang mengelilingi Madinah supaya serangan tentera Ahzab tidak dapat menembusi Madinah. Lalu Rasulullah SAW bersama para sahabat dengan iman yang kental memulakan pembinaan parit tersebut untuk mempertahankan Islam.

Pada saat kedatangan tentera Ahzab ini, kaum Yahudi menyerang kaum muslimim dari belakang dan tentera musyrikin menyerang dari arah hadapan. Tentera bersekutu Ahzab kuffar seramai 10,000 orang yang tiba ke tempat peperangan terkejut apabila mendapati parit digali tentera Islam. Ia adalah pengalaman strategi berperang yang baru kepada mereka.

Rasullulah SAW telah berdoa sebagaimana riwayat dari Abdullah bin Abu Aufa r.a katanya, Rasulullah s.a.w di hari perang Ahzab mengucapkan: "Ya Allah, yang menurunkan kitab dan cepat membuat perhitungan! Kalahkanlah kaum Ahzab dan goncangkanlah pendirian mereka."

Tentera Islam yang hanya berjumlah 3,000 orang mampu bertahan. Pertempuran besar tidak berlaku dalam peperangan ini. Enam tentera Islam syahid, manakala 10 Musyrikin dibunuh. Akhirnya, Allah mendatangkan kemenangan dengan ribut pasir, menyebabkan tentera musuh berundur, dengan pertolongan Allah S.W.T bala tentera yang ramai itu dapat dikalahkan oleh kaum tentera muslimin yang sedikit.

Allah S.W.T menggambarkan situasi ini dalam al-Quran melalui firman-Nya yang bermaksud: “Hai orang-orang yang beriman, ingatlah akan nikmat Allah (yang telah dikurniakan) kepada kalian ketika datang kepada kalian pasukan, lalu Kami mengirimkan kepada mereka angin taufan dan pasukan yang tidak dapat kamu lihat". (al-Ahzab: 9-11).

Berlaku juga kacau-bilau antara mereka apabila pengintip yang dihantar Rasulullah berjaya melonggarkan kepercayaan antara tentera Ahzab. Allah SWT telah menewaskan tentera Ahzab dengan keesaanNya.

Pengajaran perang Ahzab menunjukkan kepada kita bahawa perjuangan Islam pasti akan menghadapi pakatan kuffar untuk menghancurkan Islam dengan apa cara sekalipun. Golongan yang menegakkan agama Allah SWT sentiasa akan diuji dengan serangan yang dilakukan oleh pakatan Ahzab moden yang sangat membenci Islam.

Dunia hari ini memperlihatkan golongan kuffar bersepakat dalam melakukan serangan yang dilakukan kepada Negara ummat Islam. Islam, syariat Islam, serta golongan yang memperjuangkan Islam sentiasa menjadi sasaran mereka.

Tidak banyak bezanya dengan apa yang berlaku kepada Rasulullah SAW dan orang orang beriman dizaman dahulu. Jika dahulu Madinah diserang daripada segenap arah, maka kita hari ini juga diserang dari pelbagai arah. Daripada serangan fizikal hinggalah kepada serangan pemikiran, politik, ekonomi, budaya, kebencian golongan kuffar terhadap agama Allah SWT sangat membuak buak dan mereka sentiasa bersedia untuk menghancurkan Islam dan ummatnya pada hari ini.

Tetapi mereka mesti ingat, Allah menjanjikan pertolongan bagi orang-orang beriman dan mengazab musuh-musuhnya. Ini adalah janji yang tidak mungkin diingkari.

Selain dalam peperangan Ahzab, Allah S.W.T juga telah menolong kaum muslimin dalam peperangan-peperangan yang lain seperti yang berlaku didalam peperangan Badar, Uhud dan Khaibar. Sesungguhnya al- Maunah (pertolongan Allah) pasti datang apabila kita ikhlas dalam perjuangan Islam.

Ihsan : Ustaz Zaharudin Abdul Rahman